Verify booking Buy tickets

World Sama' Fest

World Sama' Fest

World Sama’ Fest adalah satu program yang dijayakan untuk berbicara dengan masyarakat melalui bahasa hati serta menterjemahkan rasa cinta kepada Ilahi dengan rasa gembira, perasaan rindu dendam yang diterbitkan dengan menggambarkan keseronokan dalam berhubungan dengan kekasih yang hakiki. Penyempurnaan program ini juga perlulah datang dari hati yang benar-benar cinta dengan dua tanggungjawab (hablumminallah wa hablumminannas).

Sama’ ialah lantunan suara yang bersifat puji-pujian kepada Allah SWT dan merupakan salah satu aspek kesenian peradaban Islam yang melibatkan persembahan zikir oleh ahli sufi dan masih diamalkan oleh beberapa negara Islam antaranya Turki, Mesir, Syria, Lubnan, Sudan, Chechnya dan pelbagai negara lagi. Sama’ adalah salah satu cara bagi umat Islam melafazkan rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya melalui zikir. Walaupun Sama’ telah wujud sekitar kurun ke-7 lagi, namun persembahan tersebut agak asing kepada masyarakat Islam di negara ini. Ianya mungkin dapat difahami sekiranya keasingan tersebut digambarkan seperti rakyat Maghribi menonton rancangan Marhaban yang dipersembahkan di negara kita.

Maka, sektretariat HZPS 2017 dari PERTAMA telah menggarap satu program yang dinamakan World Sama’ Fest, dimana beberapa kumpulan Hadrah dari serata dunia akan dikumpulkan untuk satu persembahan penghayatan cinta kepada Pencipta yang Maha Esa. Objektif PERTAMA menganjurkan program ini adalah bertujuan untuk mendedahkan keindahan Islam dari aspek kesenian peradaban Islam berlandaskan syarak dari segi aspek persembahan, penghayatan, dan kesopanan. Selain itu, Sektretariat HZPS 2017 telah meletakkan ‘UNITY IN LOVE’ sebagai tema dalam penganjuran kali ini selaras dengan penyatuan kumpulan Sama’ dari serata dunia dengan objektif mengagungkan Allah SWT. Keunikan persembahan dan kebudayaan yang bakal dipersembahkan dijangka akan menarik sekitar 3,000 penonton ke PICC Plenary Hall pada 28 Julai 2017 jam 8 malam untuk sama-sama menghayati rasa cinta secara mendalam dengan puji-pujian dan zikir yang disampaikan hanya untuk Allah SWT.